Make your own free website on Tripod.com
BACK MENU UTAMA NEXT

ANCAMAN

Orang Utan

Orang utan hanya terdapat di dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia, ia terdapat di negeri Sabah manakala di Indonesia ianya terdapat di Sumatra. Kedua-dua orang utan ini berbeza dari beberapa segi di mana orang utan Malaysia (Subspesies: Pongo Pygmaeus Pygmaeus) mempunyai karung pipi yang tebal dan besar, sarung tekak yang juga besar serta bentuk muka yang lebih bersegi berbanding dengan orang utan Sumatra (Subspesies: Pongo Pygmaeus abelii).

Orang utan jantan biasanya 2 kali ganda lebih besar daripada orang utan betina. Beratnya boleh mencapai sehingga 100 kg dengan ketinggian maksimum 5 kaki. Saiz yang besar ini mungkin ada kaitan dengan persaingan untuk mendapatkan pasangan. Orang utan jantan yang besar dan kuat lebih mudah mengalahkan orang utan jantan yang lebih kecil semasa mencari pasangan.

Orang utan betina mengalami kedatangan haid sebagaimana manusia. Kitar haidnya adalah di antara 29 - 32 hari dan darah turun selama 3 - 4 hari setiap kitaran. Tempoh kehamilan adalah lebih kurang 9 bulan. Berat anak yang baru dilahirkan adalah lebih kurang 3 kg sahaja. Ia biasanya hidup bersama dengan ibunya atau hidup berdekatan dengan ibunya sehingga ia mencapai umur matang. Orang utan biasa menjaga anak orang utan lain yang kehilangan atau kematian ibunya sebagai anak angkat. Orang utan jantan matang apabila berumur 7 - 10 tahun manakala yang betina matang apabila mencapai umur 12 tahun. Bagaimanapun, orang utan betina hanya mula membiak apabila mencapai umur 14-16 tahun.

Orang utan jantan yang matang mencapai ketinggian maksimum apabila berumur 15 tahun tetapi karung pipinya hanya terbentuk dengan sempurna apabila ia mencapai umur 20 tahun. Jantan-jantan yang tidak mempunyai karung pipi menghadapi kesukaran untuk mencari pasangan kerana orang utan betina biasanya tidak memilih orang utan yang tidak mempunyai karung pipi. Karung pipi yang besar merupakan status simbol untuk orang utan jantan.

Orang utan menghabiskan sebahagian besar masa siang untuk mencari makanan seperti buah-buahan, pucuk muda, bunga, serangga dan kadang-kadang telur haiwan. Salah satu makanan kegemaran orang utan ialah buah durian. Pada waktu malam orang utan tidur di atas dahan-dahan yang tinggi dan biasanya tempat tidur ini ditukar setiap malam.

Sama seperti golongan primat yang lain, orang utan mempunyai IQ yang agak tinggi. Terdapat orang utan yang telah dilatih untuk berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat. Orang utan juga boleh dilatih untuk melakukan kerja-kerja yang mudah. Tempoh hayat orang utan ialah lebih kurang 50 tahun.

Di Malaysia, orang utan adalah binatang yang dilindungi. Satu pusat melatih semula orang utan yang pernah ditangkap oleh manusia untuk dilepaskan semula ke habitat semula jadi didirikan di Sepiluk, Sandakan , Sabah. Orang utan diberi penghargaan sebagai mascot Tahun Melawat Malaysia dan sebagai maskot Sukan Komanwel 1998 yang diadakan di Malaysia.

Orang utan menghadapi masalah yang sama dengan kebanyakan haiwan lain di Malaysia iaitu perubahan atau kehilangan habitat semula jadi mereka. Hal ini kerana banyak kawasan-kawasan telah dibuka untuk tujuan pembalakan, pertanian dan pertempatan manusia. Adalah diharapkan orang utan yang masih ada akan terus kekal hidup untuk beberapa generasi akan datang dan tidak hanya tinggal sebagai maskot semata-mata. Untuk tujuan ini, adalah penting habitat semula jadi orang utan ini diselamat dan dikekalkan.Antara binatang lain yang hampir pupus termasuklah harimau,gajah,dugong, penyu dan orang utan.Gambar gambar juga boleh didapati di galeri kami.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai orang utan, anda boleh meneroka laman web OFI pada URL di bawah:

URL (OFI) : http://www.ns.net/orangutan

BACK MENU UTAMA NEXT
setstats 1