Make your own free website on Tripod.com


 

                                      
BACK MENU UTAMA NEXT

 

Ancaman Kepada Harimau.

 

   

 

Harimau tergolong dalam kerajaan haiwan dalam filum kordata (bersaraf tunjang), sub-filum vertebrata (bertulang belakang), kelas mamalia (berdarah panas, berbulu dengan kelenjar menyusu), susunan maging (Carnivor), keluarga felidae (kucing), genus panthera, spesies tigris (harimau).

Harimau dipercayai berasal daripada sejenis haiwan pemangsa zaman purba yang dikenali sebagai Miacids. Miacids hidup pada akhir zaman Cretaceous kira-kira 70-65 juta tahun dahulu semasa zaman dinosour di Asia Barat (Andrew Kitchener, "The Natural History of Wild Cats").  Sulur-galur harimau kemudiannya berkembang di kawasan timur Asia di China dan Siberia sebelum berpecah dua, satunya bergerak ke arah hutan Asia Tengah ke barat dan baratdaya menjadi harimau Caspian. Sebahagian lagi bergerak dari Asia Tengah ke arah kawasan pergunungan barat, dan seterusnya ke Asia tenggara dan kepulauan Indonesia, sebahagiannya ke barat sehingga ke India (Hemmer,1987)

Sungguhpun harimau telah dianggap sebagai haiwan pemangsa yang unggul, tetapi akibat aktiviti manusia, kesemua sub-spesies harimau sekarang berhadapan dengan ancaman kepupusan, walaupun telah ada selama berjuta tahun dahulu. Pada masa sekarang terdapat lima sub-spesies harimau dalam Genus Panthera yang masih hidup pada masa sekarang dari asal lapan sub-spesies harimau moden. Tiga sub-spesies harimau yang selebihnya telah pun dianggap pupus secara rasmi. Sub-spesies harimau yang diketahui adalah seperti berikut:-

  1. Harimau Indochina (Panthera tigris corbetti) - yang terdapat di kawasan hutan hujan dan padang rumput Malaysia, Kemboja, China, Laos, Myanmar, Thailand, dan Vietnam.
  2. Harimau Bengal (Panthera tigris tigris) - yang terdapat di kawasan hutan hujan dan padang rumput Bangladesh, Bhutan, China, India, dan Nepal.
  3. Harimau Cina Selatan (/amoy) (Panthera tigris amoyensis) - yang tinggal di kawasan hutan hujan dan padang rumput tengah dan barat China.
  4. Harimau Siberia (Panthera tigris altaica) - atau juga dikenali sebagai Amur, Ussuri, harimau Timur Laut China, atau harimau Manchuria. Harimau Siberia tinggal di kawasan hutan hujan dan padang rumput China, Korea Utara, dan Asia Tengah di Russia.
  5. Harimau Sumatra (Panthera tigris sumatrae) - yang tinggal hanya di kepulauan Sumatera, Indonesia.
  6. Harimau Caspian (Panthera tigris virgata) - yang telah pupus sekitar 1950an. Harimau Caspian ini pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan dan padang rumput Afganistan, Iran, Mongolia, Turki, dan kawasan Asia tengah Russia.
  7. Harimau Jawa (Panthera tigris sondaica) - yang telah pupus sekitar 1972. Harimau Jawa pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan kepulauan Jawa, Indonesia.
  8. Harimau Bali (Panthera tigris balica) - yang telah pupus sekitar 1937. Harimau Bali pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan kepulauan Bali, Indonesia.
Ancaman kepada harimau disebabkan beberapa sebab seperti ancaman oleh manusia atau alam sekitar. Ancaman oleh manusia termasuk :-

Harimau Belang.Penggunaan bahan berasaskan harimau dalam perubatan traditional telah bertapak lebih 1,000 tahun dalam budaya Cina. Kebiasaan ini telahpun tersebar ke Korea, Jepun, India, dan kawasan-kawasan di mana terdapat penduduk kaum Cina tinggal. Kebangkitan minat terhadap ubat tradisi secara tidak langsung meningkatkan lagi permintaan untuk barangan berasaskan harimau. Semua ini menggalakkan lagi pemburuan haram yang menyebabkan tiga spesies harimau yang tinggal semakin hampir kearah kepupusan. Seluruh bahagian harimau digunakan untuk perubatan Cina, antaranya adalah: lemak harimau untuk merawat kusta, dan sakit sendi tulang; ekor harimau untuk penyakit kulit; hempedu harimau untuk sawan kanak-kanak; misai harimau untuk sakit gigi; otak harimau untuk merawat keletihan dan jerawat; dan alat kelamin harimau untuk merawat lemah shawat. Tulang harimau juga digunakan sebagai penawar untuk semua jenis penyakit apabila digiling menjadi serbuk dan dicampurkan dengan herba untuk dimakan. Dianggarkan nilai seekor harimau boleh mencecah RM76,000 (US20,000) seekor apabila siap diproses. Semua ini pastinya menggalakkan pemburuan haram terutama dikalangan rakyat di negara miskin.

Selain itu kemusnahan kawasan hutan yang berterusan juga menjadi punca harimau terancam. Apabila kawasan hutan dibuka, pemburu haram lebih mudah memasuki kawasan hutan untuk memburu harimau atau haiwan yang diburu oleh harimau sebagai makanan mereka. Sebagai contoh, seekor harimau Bengal dengan 2 anak memerlukan 70 ekor haiwan mangsa setiap tahun. Oleh itu bayangkan jumlah mangsa yang diperlukan oleh satu populasi 40 ekor harimau sekiranya setiap seekor harimau memerlukan 49 ekor mangsa setahun (164 sebulan ataupun 1,960 mangsa setahun). Kawasan hutan yang semakin berkurangan juga mengurangkan mangsa harimau yang berpindah atau hapus diburu, dengan itu memaksa harimau untuk mula memburu haiwan ternakan yang dipelihara di kawasan baru diteroka dan terletak berhampiran kawasan hutan seperti kawasan felda.

Pemburuan haram ini bertambah buruk apabila kawasan hutan tersebut menjadi pusat kegiatan puak pemberontak atau kumpulan pengedar dadah. Ini disebabkan dengan bertambahnya senjata api, pemburuan menggunakan senjata api menjadi berluasa. Dengan nilai tinggi bagi bahagian anggota harimau, harimau menjadi sumber kewangan mudah bagi individual ataupun anggota kumpulan bersenjata tersebut. Selain itu, jumlah haiwan yang diburu harimau turut berkurangan dan ini menyebabkan harimau kelaparan dan tidak dapat membesarkan anaknya. Harimau dewasa pula mungkin bertindak memburu haiwan ternakan, dengan itu turut menjadi mangsa buruan pihak berkuasa yang bertindak untuk melindungi orang awam dari ancaman harimau pemakan manusia. Apabila berlaku pertembungan antara harimau dan manusia, dalam masa panjang, harimau akan sentiasa tertekan dan dihapuskan. Akhirnya harimau sentiasa berada dipihak yang rugi.

Ancaman semulajadi :-
Selain itu, kawasan hutan yang sempit dan berpecah-pecah (fragmented) menyebabkan sama ada harimau yang tinggal menghadapi masalah mencari pasangan ataupun hanya sedikit jumlah harimau yang dapat di tampung di kawasan itu. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kelemahan genetik akibat pembiakan sesama sendiri. Ini akan menghasilkan harimau yang cacat, ataupun tidak sihat, dan mudah diserang penyakit.

Harimau tercedera oleh duri landak.Jumlah mangsa harimau yang berkurangan juga menyebabkan harimau terpaksa memburu haiwan kecil untuk menghilangkan rasa lapar. Ini menyebabkan mereka menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk memburu. Secara tidak langsung, harimau betina tidak mampu membesarkan anak disebabkan kekurangan makanan oleh itu kepupusan akan berlaku. Harimau juga terpaksa memburu haiwan buruan yang biasanya tidak diburu akibat merbahaya, seperti landak. Duri landak mampu mencederakan harimau dan sekiranya berlaku jangkitan kuman boleh membunuh harimau tersebut. Sebaliknya sekiranya harimau itu memburu haiwan ternakan, pastinya ia akan diburu dan dibunuh.
 
BACK MENU UTAMA NEXT