Make your own free website on Tripod.com


 
 
BACK MENU UTAMA NEXT


 

Ancaman dan Gangguan
Kepada Gajah.

Gajah mengibaskan telinganya.Gajah merupakan haiwan daratan terbesar di dunia, tetapi walaupun dengan badannya yang besar itu, gajah masih berhadapan dengan pelbagai ancaman. Oleh kerana gajah boleh hidup sehingga 80 tahun, gajah berhadapan dengan pelbagai ancaman semulajadi dan daripada manusia sepanjang kehidupan mereka.  Ancaman yang disenaraikan di bawah adalah sebahagian daripada ancaman yang dihadapi oleh gajah Asia dan gajah Afrika. Diantaranya adalah :-

Ancaman semulajadi
Serangan haiwan pemangsa
Oleh kerana gajah merupakan haiwan daratan terbesar, tidak banyak haiwan pemangsa mengancam gajah kecuali anak gajah. Di antara  haiwan pemangsa yang mengancam anak gajah adalah singa (gajah Afrika), harimau (gajah Asia), buaya dan hyaena.
Kemarau
Seekor gajah memerlukan sehingga 70 hingga 90 liter air setiap hari. Oleh itu satu kumpulan 60 ekor gajah memerlukan hampir 4,200 hingga 5,400 liter air. Kemarau panjang yang menyebabkan kekurangan tumbuhan dan sumber air boleh mengancam nyawa gajah disebabkan setiap kumpulan gajah memerlukan jumlah tumbuhan dan air yang banyak untuk terus hidup.
Sumber baka yang terhad
Jumlah gajah yang semakin berkurangan menyebabkan baka gajah yang terhasil adalah daripada kumpulan gajah yang sama. Lama-kelamaan, baka gajah ini akan menjadi lemah akibat pertalian persaudaraan yang terlalu rapat di antara gajah tersebut. Baka gajah tersebut akan mengalami mutasi dan anak gajah yang terhasil mungkin cacat dan lemah dari segi anggota dan fikiran. Ini adalah sebab yang sama mengapa orang Islam tidak digalakkan berkahwin dengan saudara yang terlalu rapat dengan mereka seperti sesama sepupu. Keadaan ini disebabkan hutan yang tinggal telahpun terpecah kepada hutan kecil yang terasing antara satu sama lain. Oleh itu gajah di dalam hutan-hutan tersebut tidak dapat berhubung dengan kumpulan gajah dalam hutan yang lain.
Ancaman manusia
Pemburuan haram untuk gading dan daging
Pemburuan haram untuk gading dan daging mengancam gajah Afrika dan Asia dengan teruknya. Bagaimanapun, disebabkan hanya gajah jantan Asia yang memiliki gading, ancaman terhadap gajah Afrika adalah lebih teruk. Perniagaan gading gajah antarabangsa bernilai berjuta-juta ringgit, satu jumlah yang teramat besar bagi negara-negara miskin di mana gajah di dapati. Disebabkan ini, pemburuan haram berleluasa dengan pemburu-pemburu haram dilengkapi dengan senjata canggih untuk memburu gajah. Penduduk negara yang miskin pula sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkan sejumlah wang yang hanya sedikit berbanding dengan nilai gading di pasaran antarabangsa.
Pihak berkuasa pula menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan bagi mengawal pemburuan haram ini, malah kadang-kala berlaku pertumpahan darah disebabkan berlakunya pertempuran di antara pihak kerajaan dengan pemburu haram. Dianggarkan terdapat 1.3 juta gajah Afrika pada tahun 1981. Jumlan ini menurun kepada 625,000 pada tahun 1989. Purata saiz gading menurun daripada 15.9 kilogram kepada 5.9 kilogram pada tempoh yang sama. Ini menunjukkan pemburu haram mulai memburu gajah yang lebih muda. Dianggarkan 80% sumber gading pada tahun 1998 dibekalkan daripada pemburuan haram. Anggaran penurunan populasi gajah (kecuali di Afrika Selatan) di antara tahun 1981 hingga 1995 adalah 14.4% di Afrika Barat, 47.7% di Afrika Tengah, 70.5% Afrika Timur.
Pencerobohan kawasan hutan oleh manusia
Oleh kerana setiap seekor gajah memerlukan sehingga 150 kilogram makanan setiap hari, kumpulan gajah yang besar akan sentiasa berpindah-randah untuk memastikan mereka mendapat bekalan makanan yang secukupnya. Sekiranya kawasan ragut mereka telah dicerobohi oleh manusia untuk bercucuk tanam, gajah - gajah tersebut akan tetap mencari makanan di kawasan yang telah ditanam dengan tanaman manusia. Disebabkan jumlah yang dimakan oleh kumpulan gajah ini adalah banyak, ini pada kebiasaannya menyebabkan petani bertindak-balas dengan menembak kumpulan gajah yang mencari makan itu. Ini akan memaksa kumpulan gajah ini berpindah lebih jauh ke dalam hutan. Sebagai contoh di Sri Lanka semenjak 1950, sejumlah 300 gajah telah ditembak bagi menghalang mereka memakan tanaman yang ditanam di kawasan hutan yang baru diterangi. Para petani ini menganggap gajah merupakan musuh tanaman dan tidak faham kenapa gajah perlu dilindungi. Pada tahun 2000, juga terdapat lapuran mengenai sekumpulan 60 ekor gajah yang memusnahkan tanaman di Indonesia.
Kawasan ragut yang semakin sempit
Pencerobohan kawasan hutan oleh manusia juga menyebabkan kawasan hutan tempat gajah mencari makanan semakin sempit. Disebabkan kumpulan gajah sentiasa berpindah-randah, gajah memerlukan kawasan ragut yang luas untuk mendapat makanan yang secukupnya. Ini menyebabkan pertembungan di antara manusia dan gajah tidak dapat dielakkan. Anggaran luas minima kawasan yang diperlukan oleh gajah adalah 0.13 seekor/kilometer persegi ataupun kawasan seluas (60 ekor /0.13 kilometer persegi = )461.5 kilometer bagi satu kumpulan 60 ekor gajah. Oleh itu, walaupun terdapat hutan simpanan, sekiranya hutan simpanan ini tidak cukup luas untuk membekalkan makanan yang secukupnya kepada gajah, lambat-laun akan berlaku juga pertembungan antara gajah dan manusia. Pertembungan ini pada kebiasaannya akan berakhir dengan kematian gajah.
Terdapat pasaran untuk anak gajah
Penjualan anak-anak gajah kepada pihak zoo, sarkas, dan pengumpul haiwan persendirian menyebabkan terdapatnya permintaan tinggi untuk anak gajah. Disebabkan ini terdapatnya kes di mana ibu gajah akan ditembak mati bagi memudahkan anak gajah diambil untuk dijual. Anak gajah yang diambil pula akan dilatih dengan kejam supaya cepat dapat dijual. Perbuatan ini menyebabkan anak gajah ini berdendam dengan manusia dan boleh mendatangkan bahaya di masa hadapan apabila anak gajah ini telah dewasa.
Pemburuan gajah berlesen
Sesetengah negara membenarkan pemburuan gajah berlesen untuk tujuan bersukan. Disebabkan harga lesen yang mahal dan juga perasaan ego, pada kebiasaannya gajah yang memiliki gading yang paling besar menjadi tumpuan pemburu. Ini menyebabkan pengalaman berpuluh tahun yang dikumpulkan oleh gajah tersebut mengenai keadaan mukabumi, tempat ragut, sumber air, keadaan cuaca dan ancaman musuh akan hilang begitu sahaja. Sebagai contoh, ketika kemarau paling teruk semenjah 20 tahun lalu melanda sebuah taman negara di Afrika, kumpulan gajah yang diketuai oleh gajah muda kekal di kawasan mereka, sedangkan kumpulan gajah yang diketuai oleh gajah yang lebih tua berpindak ke kawasan yang yang mempunyai air yang terletak beberapa ratus batu jauhnya daripada kawasan tersebut. Keadaan ini boleh mengancam kewujudan kumpulan gajah tersebut.
Pembunuhan gajah untuk pengawalan
Sesetengah taman negara Afrika yang mengalami masalah jumlah gajah yang terlalu besar berbanding dengan kawasan hutan simpanan, (lihat jumlah kawasan yang diperlukan gajah di atas), mengambil tindakan menembak seluruh kumpulan gajah yang dipilih. Keadaan ini berbeza dengan keadaan liar di mana gajah yang tua, sakit ataupun paling muda akan mati terlebih dahulu. Pembunuhan kumpulan gajah tanpa mengira keadaan gajah ini menyebabkan gajah yang mempunyai baka yang kurang baik berpeluang untuk mempunyai zuriat disebabkan kurangnya persaingan. Ini menjadikan generasi gajah yang seterusnya mempunyai baka yang semakin lemah.
Pertambahan penduduk
Pertambahan penduduk di negara yang mempunyai gajah menyebabkan semakin banyak tanah diperlukan untuk pertanian untuk membekalkan makanan. Ini menyebabkan semakin banyak tanah diterangi. Jumlah penduduk yang bertambah juga menambah peluang berlakunya pertembungan di antara gajah dan manusia.

Pembentukan sempadan buatan manusia.
Pembentukan sempadan oleh negara-negara baru yang membahagikan kawasan terdapatnya gajah menyebabkan terdapat sekatan buatan. Gajah akan dihalang oleh pagar sempadan yang memecahkan kumpulan gajah dan menyekat gajah dari bergerak melalui laluan lazim mereka. Sebagai contoh, gajah yang bergerak jauh dari biasa ketika mencari air pada musim kemarau akan bergerak sebagaimana yang pernah dilakukan oleh keturunan mereka beratus-ratus tahun dahulu. Tetapi kini pagar sempadan, pagar kawasan persendirian, dan pagar kawasan pertanian menghalang laluan mereka. Gajah yang terus cuba melalui pagar-pagar tersebut mungkin akan dihapuskan sebagai pengacau, sedangkan mereka hanya mengikut naluri semulajadi mereka untuk terus hidup.

Undang-undang perlindungan yang berbeza.
Apabila gajah-gajah bergerak melalui laluan lazim, ketika berhijrah, gajah-gajah tersebut terpaksa melintasi beberapa sempadan negara yang berlainan. Setiap negara mempunyai undang-undang perlindungan haiwan liar yang berlainan. Oleh itu, walaupun kumpulan gajah yang berada dalam sesebuah negara itu mendapat perlindungan yang ketat, sebaik sahaja gajah-gajah tersebut melintasi keluar daripada sempadan negara tersebut, kumpulan gajah tersebut akan terdedah kepada undang-undang negara jiran yang mungkin berbeza seperti membenarkan pemburuan berlesen atau mungkin tiada perlindungan langsung. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang juga berbeza antara sesebuah negara. Negara yang mempunyai sumber yang sedikit, berkemungkinan kurang berminat untuk menguatkuasakan undang-undang berkenaan haiwan liar, disebabkan sumber yang ada hanya mampu digunakan untuk membekalkan penduduk mereka dengan makanan.

 
BACK MENU UTAMA NEXT